: Laman Utama : Soalan Lazim : Maklum Balas : Hubungi Kami :   
Suara Koperasi
Pautan
Cuti Umum
Waktu Solat
Info Cuaca
 
Kemaskini Terakhir
Pada
30 JUN 2016


Arkib Berita
 
KOPERASI TENTERA DAN TATA CONSULTANCY SERVICES MENANDATANGANI KONTRAK PEMBANGUNAN SISTEM BERSEPADU PERBANKAN ISLAM
Sejajar dengan Pelan Transformasi KT untuk Menjadi Bank Koperasi

Kuala Lumpur, 10 Mac 2016 - Koperasi Tentera (KT) dan Tata Consultancy Services (TCS) hari ini telah menandatangani kontrak pembangunan sistem BaNCS TCS untuk Perbankan Teras sebagai sebahagian daripada pelan transformasinya menjadi sebuah Bank Koperasi.

Kontrak perjanjian itu telah ditandatangani di antara Ketua Pegawai Eksekutif KT - YBhg Brig. Jen. Dato' Ahmad Zahudi bin Hj Salleh (Bersara); Anggota Lembaga KT - YBhg Datin Zaharah bt Ali dengan Pengarah TCS Malaysia - Encik Anil Snehi; Ketua Pusat Kecemerlangan Islam TCS Financial Solutions, Encik Jamil Hassan; disaksikan oleh Pengerusi KT - YBhg Mej. Jen. Dato' Zulkiflee bin Mazlan (Bersara); dan Ketua Global, Penghantaran Produk - Perbankan, TCS Financial Solutions, Encik S Sambamurthy.

KT telah mengamanahkan pembangunan projek ini kepada TCS yang merupakan sebuah syarikat perkhidmatan IT terkemuka khususnya dalam bidang perundingan dan penyelesaian perniagaan. Langkah ini diambil dalam usaha untuk mempercepatkan pelancaran perbankan teras termasuklah kerja-kerja pembangunan, pelesenan dan pelaksanaan sistem BaNCS TCS.

Dari Kiri - Ketua Pusat Kecemerlangan Islam TCS Financial Solutions, Encik Jamil Hassan, Pengarah TCS Malaysia - Encik Anil Snehi disaksikan oleh Ketua Global, Penghantaran Produk - Perbankan, TCS Financial Solutions, Encik S Sambamurthy.

Dari Kanan - Ketua Pegawai Eksekutif KT - YBhg Brig. Jen. Dato' Ahmad Zahudi bin Hj Salleh (Bersara); Anggota Lembaga KT - YBhg Datin Zaharah bt Ali disaksikan oleh Pengerusi KT - YBhg Mej. Jen. Dato' Zulkiflee bin Mazlan (Bersara).

"Kami telah menetapkan perangkaan asas dalam usaha untuk menjadi sebuah bank koperasi di samping mengembangkan lagi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi serta memperkukuhkan operasi untuk jangka masa panjang. Kami sedar bahawa kami perlu mengembangkan perniagaan sedia ada dengan memperluaskan dan mencapai sasaran pasaran yang lebih besar seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan orang ramai. Sebahagian daripada usaha transformasi ini termasuklah perubahan dalam sistem Perbankan Teras kami", kata Pengerusi KT, YBhg Mej. Jen. Dato' Zulkiflee bin Mazlan (Bersara).

"TCS bukanlah satu nama baharu dalam perkhidmatan IT kerana mempunyai reputasi yang baik di peringkat antarabangsa dan berpengalaman luas dalam melaksanakan sistem BaNCS TCS iaitu penyelesaian perbankan teras mereka di seluruh dunia. Saya percaya bahawa melalui perkongsian strategik dengan TCS Financial Solutions ini akan membantu kami meningkatkan dan mempercepatkan pelaksanaan pelan transformasi KT dan pada masa yang sama meneruskan komitmen kami menjana peningkatan taraf ekonomi dan kebajikan para anggota/ pemegang saham KT", katanya lagi.

N. Ganapathy Subramaniam, Presiden, TCS Financial Solutions berkata, "Kami amat gembira kerana terpilih untuk turut serta dalam perjalanan KT menjadi sebuah Bank Koperasi di Malaysia. Teknologi sistem TCS BaNCS ini akan memandu perbankan teras KT menjadi lebih cekap dan berteraskan pelanggan di samping menjadi hab kepada semua produk-produk dan proses berkaitan kewangan secara menyeluruh. Kami teruja untuk melancarkan projek ini secepat mungkin sekaligus mempercepatkan lagi transformasi KT menjadi Bank Koperasi ".

Projek perkongsian strategik KT bersama TCS telah bermula pada bulan September 2015 dan pelaksanaan sistem BaNCS TCS untuk Perbankan Teras disasarkan siap dalam tahun ini. KT dijangka akan memperolehi lesen untuk beroperasi sebagai Bank Koperasi pada akhir tahun 2016. Kos pemilikan bagi Perbankan Teras ini adalah kira-kira RM95.8 juta, bagi tempoh lima (5) tahun.








 Hakcipta Terpelihara@Koperasi Tentera
PENAFIAN : Koperasi Tentera tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh dari laman ini.